Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Solat seseorang dengan berjamaah berlipat ganda dari solat sendirian di rumahnya iaitu sebanyak 25 kali , iaitu apabila dia berwuduk, dia sempurnakan wuduknya, kemudian ia pergi ke masjid dan hanya semata-mata untuk solat; ia tiada melangkahkan kakinya, melainkan akan menambah tingkat dirinya satu darjat dan setiap langkah akan menghapuskan satu kesalahan. Apa bila ia solat, maka malaikat akan selalu mengucapkan selawat kepadanya selama dia tinggal di tempat solat itu dan tidak berkata-kata. Malaikat berdoa: Allahumma salli’alaih, Allahumma arhamhu ( Ya Allah berilah dia rahmat dan berilah dia kasih sayang ) dan ia tetap seperti orang yang mengerjakan solat selama dia menantikan solat .”
( HR Bukhari Muslim dan lafaz ini ada pada sisi Bukhari )

Solat berjemaah adalah perkara yang bukan asing di negara-negara Islam. Umumnya, masyarakat Islam mengetahui dan tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Namun, setakat mana solat berjemaah diberi keutamaan untuk dilaksanakan? Pertembungan antara tuntutan duniawi dengan tuntutan ukhrawi menjadikan umat akhir zaman semakin sukar untuk berjemaah terutamanya di masjid mahupun di surau-surau yang berhampiran dengan kediaman masing-masing
Solat berjemaah, mengikut pendapat yang sahih adalah dihukumkan fardhu kifayah kecuali solat Jumaat yang difardhukan fardhu ain kepada setiap lelaki yang mukalaf. Kefardhuan ini tidak terlepas daripada sesuatu tempat, kampung, bandar, atau pecan melainkan ada sekumpulan manusia yang mendirikannya secara terang dan jelas. Sekiranya ia tidak didirikan sama sekali atau dilaksanakan secara bersembunyi maka seluruh penduduk dalam kawasan tersebut berdosa dan pemerintah wajib untuk memerangi mereka
Kepentingan solat secara berjemaah ini amat penting seperti firman Allah dalam surah An-Nisa...
Dan apabila engkau(Wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka(semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan(menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri(mengerjakan solat) bersama-samamu dan hendaklah nereka menyandang senjata masing-masing, kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah berundur ke belakang(untuk menjaga serbuan musuh) dan hendaklah datangpula puak yang lain(yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga keselamatan), maka hendaklah mereka bersolat (berjemaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandangkan senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah meyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.”
(Surah An-Nisa : 104)
Allah sangat mengutamakan solat berjemaah apatah lagi dalam suasana aman tenteram tentunya ia adalah lebih aula/utama. Malangnya hari ini kita meringankan solat berjemaah di masjid, sedangkan baginda sendiri tidak meninggalkan solat berjemaah ketika baginda sakit tenat sekalipun. Baginda pernah dipapah oleh para sahabat untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid. Ini menunjukkan baginda ingin menyampaikan mesej kepada umatnya mengenai perihal pentingnya solat fardhu secara berjemaah dan di masjid.
0leh yang demikian ,MARILAH KITA BERAMAI RAMAI MENGERJAKAN SOLAT BERJEMAAH kerana disebalik perintah Allah itu terkandung seribu satu hikmah...